Sime Darby Property Bandar Universiti Pagoh telah menganjurkan “Urban Farming Awareness Day” pada 17 November di Sime Darby Property Sales Gallery, Bandar Universiti Pagoh. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai faedah konsep pertanian bandar dan untuk memupuk penglibatan komuniti di Bandar Universti Pagoh dalam aktiviti pertanian bandar.
Program ini telah dianjurkan oleh Sime Darby Property, Bandar Universiti Pagoh, dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh melibatkan Prof. Madya Ts. Dr. Dalilia Md Said Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Encik Mohd Farid Ismail, Puan Suhir Sulaiman, dan Cik Norfakhrina Mohd Noor, Pegawai Penyelidik dari Pusat Inovasi Teknologi Pertanian dan Bioproses Termaju (ICA) UTM Kampus Pagoh, turut serta dalam program ini untuk memberikan perkongsian dan panduan mengenai konsep pertanian bandar.
Encik Mohd Murad Mohd Syaifu, Ketua Perancangan Bandar Sime Darby Property, Bandar Universiti Pagoh, telah merasmikan program ini yang turut dihadiri oleh penduduk komuniti Taman Harmoni Vista dan Taman Harmoni Permai Pagoh. Wakil-wakil dari Majlis Perbandaran Muar juga turut hadir memberikan sokongan dan menggalakkan lebih ramai komuniti setempat mengambil bahagian dalam konsep terbabit di kawasan perumahan masing-masing.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang hari, termasuk pengenalan kepada konsep pertanian bandar dan pemasangan serta penyelenggaraan sistem hidroponik. Peserta juga turut terlibat dalam sesi perkongsian pengalaman dan kaedah pengurusan projek hidroponik oleh UTM Pagoh. Peserta juga berpeluang melibatkan diri dengan sesi demonstrasi dan praktikal berkumpulan untuk memberikan peluang kepada peserta untuk memahami secara langsung proses aplikasi teknologi pertanian bandar.