Menguruskan ladang turut memerlukan tenaga elektrik untuk memastikan sebarang aplikasi teknologi hijau yang digunakan dapat berfungsi dengan sempurna. Sebelum ini, ladang penyelidikan meletakkan kebergantungan kepada tenaga elektrik yang dibekalkan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bil bulanan TNB universiti akan sentiasa naik setiap kali musim kemarau dan penggunaan mesin pam air sedia ada untuk menyiram pokok-pokok akan menjadi lebih kerap digunakan. Di lema ini turut menjadi cabaran untuk mana-mana pengusaha kebun dan ladang pertanian sekitar Pagoh.
Memanfaatkan teknologi solar fotovoltaik atau ‘solar PV’ sedia ada di pasaran dan dengan pelaburan yang minimum, Ladang Penyelidikan UTM Kampus Pagoh telah memasang sendiri Solar PV untuk menjimatkan tenaga elektrik Universiti. Pemasangan 3 unit panel solar di ladang penyelidikan telah menjana lebih 2kW yang mencukupi untuk menggerakkan sistem irigasi automatik sedia ada di ladang dan lain-lain peralatan sensor kajian di ladang.
Penggunaan panel solar PV adalah pilihan terbaik untuk mana-mana pekebun dan petani kerana ia sistem yang mudah dipasang, tiada bahagian mekanikal, tiada penggunaan bahan api, tiada pelepasan sebarang bahan toksik termasuk gas rumah hijau, tiada bunyi, tiada pencemaran dan sumbernya hanya tenaga matahari sahaja.
Pada masa akan datang pemasangan panel solar secara ‘Agrivoltaics’ ialh pendekatan baharu untuk penjanaan tenaga elektrik dari matahari. Ia melibatkan gabungan panel solar dengan tanaman pertanian di atas tanah yang sama. Agrivoltaics bertujuan untuk memaksimumkan kecekapan penggunaan tanah dan penjanaan tenaga bersih sambil memberikan faedah teduhan, pengurangan penyejatan air dan penyederhanaan suhu tumbuhan.
Dengan penyelidikan berterusan, dasar sokongan kerajaan dan usaha kolaboratif dari industri kepada petan, pendekatan agrivoltaics boleh dilaksanakan dengan meluas di seluruh Malaysia.